Pengenalan Unit Akademik (Kelas Persediaan SPM)

Kelas persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Madrasah Tahfiz Al Jauhar (MTAJ) merupakan program yang pertama kali diwujudkan pada tahun 2019. Kelas ini bertujuan memudahkan pelajar tahfiz untuk menyambung pengajian setelah menamatkan hafalan mereka. Atas kesedaran untuk membantu pelajar ini mendapat lebih banyak peluang perkembangan diri, MTAJ telah mengorak langkah proaktif dengan menawarkan program “Fastrack SPM” ini.

Pelajar akan mengikuti kelas dalam tempoh 10 bulan bagi menguasai sukatan pelajaran peringkat sekolah menengah yang biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum menduduki SPM. Semua pelajar diwajibkan mendaftar lapan mata pelajaran iaitu lima mata pelajaran teras dan tiga mata pelajaran elektif. Mata pelajaran teras ialah Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, manakala mata pelajaran elektif ialah Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

MTAJ menetapkan syarat minimum 10 juzuk hafalan untuk melayakkan pelajar mengikuti program ini. Bagi memastikan hafalan al-Quran pelajar terjaga, waktu mengulang hafalan secara harian telah ditetapkan. Tahap hafalan mereka akan dipantau oleh guru tahfiz agar tidak terjejas disebabkan kesibukan mengikuti kelas akademik yang padat.

MTAJ menyediakan guru sepenuh masa dan berkaliber dalam mengembangkan potensi pelajar. Selain itu, guru-guru sepenuh masa yang berkhidmat juga memiliki latar belakang pendidikan yang bersesuaian dengan mata pelajaran yang diajar dan mempunyai kelayakan dari Institusi Pengajian Tinggi dari dalam dan luar negara. Program ini turut dipimpin oleh Tuan Haji Roselan bin Ahmad yang merupakan Mantan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kuala Lipis, Pahang yang mempunyai kepakaran dalam bidang pedagogi dan psikologi pendidikan. Selain itu, program ini turut mendapat sokongan oleh guru-guru pakar dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi.